Default Banner

Konsert Muzik Orkestra Kuala Lumpur X Rakan Muda 2025

Utama / Berita & Acara / Konsert Muzik Orkestra Kuala Lumpur X Rakan Muda 2025

February 17th, 2025 by Admin

Hari ini, Konsert Muzik Orkestra Remaja Kuala Lumpur x Rakan Muda 2025 telah berlangsung dengan penuh gemilang di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut.

Konsert ini telah dihadiri oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBrs. Tuan Ismadi bin Sakirin, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, serta YBrs. Puan Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara.

Dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), konsert ini menjadi platform utama bagi menyerlahkan bakat belia dalam bidang muzik selain memberikan peluang kepada peserta untuk tampil dalam persembahan orkestra profesional di bawah bimbingan Kumpulan Orkestra Kuala Lumpur (OKL).

Persiapan konsert ini telah bermula dengan sesi uji bakat pada 28 hingga 29 Disember 2024. Peserta yang terpilih kemudiannya mengikuti Kem Muzik Orkestra Remaja Kuala Lumpur x Rakan Muda 2025 dari 10 hingga 14 Februari 2025 yang berlangsung di Studio Orkestra DBKL, Menara DBKL 2.

Tema konsert tahun ini mengetengahkan runut bunyi filem-filem terkenal tanah air dan antarabangsa, termasuk persembahan tribute khas kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Sebanyak 14 buah lagu dipersembahkan oleh 90 peserta, terdiri daripada alumni Kem Muzik Orkestra Remaja Kuala Lumpur x Rakan Muda 2025, Kem Muzik Rakan Muda@Kuala Lumpur 2024, serta Kem Muzik Rakan Muda@Sarawak 2024. Program ini menyasarkan penglibatan belia berumur 13 hingga 30 tahun dari pelbagai latar belakang.

Konsert ini diharapkan menjadi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk menceburi industri kreatif, yang bukan sahaja penting dalam pembentukan identiti negara, tetapi juga berpotensi menjana pendapatan dan peluang kerjaya. Penglibatan belia secara inklusif dalam program ini turut menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian, selari dengan pendekatan Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan dan pembangunan masyarakat.


Hubungi Kami

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut 50350 Kuala Lumpur, Malaysia

03 2617 9000

03 2698 0460

dbkl@dbkl.gov.my

Jumlah Pelawat

Hari Ini:

0

Keseluruhan:

0

Kemaskini Terakhir:

14/05/2025

Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas

Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)