February 17th, 2025 by
Pada malam semalam, Majlis Perasmian Program Wilayah Persekutuan Harmoni telah berlangsung dengan penuh meriah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan turut dihadiri oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, YBhg. Dato’ Indera Noridah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, serta YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Program Wilayah Persekutuan Harmoni merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan, Kementerian Perpaduan Negara, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Program ini dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 bagi menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan. Selain itu, ia turut menampilkan kepelbagaian budaya, warisan, sukan, dan aktiviti kekeluargaan yang mencerminkan keunikan masyarakat Malaysia, selari dengan nilai kesejahteraan dan hormat dalam gagasan Malaysia MADANI.
Antara acara utama program ini adalah Perarakan Harmoni, yang mengetengahkan pelbagai elemen kebudayaan termasuk persembahan alat muzik dan tarian tradisional, perarakan kenderaan berhias, peragaan pakaian tradisional pelbagai etnik, serta perarakan beca dan kenderaan antik berlampu. Perarakan ini melibatkan 600 peserta daripada 10 kumpulan etnik termasuk Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak, Orang Asli, Baba dan Nyonya, Siam, Chetti, serta Jawa. Perarakan ini bermula dari Jalan Raja Tuanku Abdul Rahman sebelum berakhir di Dataran Merdeka.
Selain itu, para pengunjung turut dihiburkan dengan konsert khas yang menampilkan barisan artis terkenal seperti Suki Low, Azharina Azhar, Amir Jahari, Ezra Kairo, dan Zubir Khan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat memupuk semangat patriotisme serta rasa cinta dan bangga terhadap Wilayah Persekutuan, selaras dengan visi menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai Bandar CHASE yang lebih maju, mampan, dan berdaya saing.
Best user experienced are using Mozilla Firefox, Google Chrome, Internet Explorer 11 or later.
All Rights Reserved. © 2023 - Kuala Lumpur City Hall (DBKL)